Dalam tempoh RMKe-10 tumpuan akan diberi kepada usaha pertumbuhan ekonomi dalam
NKEA. NKEA ditakrif sebagai pemacu aktiviti ekonomi yang berpotensi menyumbang secara
signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Lazimnya, negara yang telah melalui perubahan daripada ekonomi berpendapatan sederhana kepada pendapatan tinggi akan memberi tumpuan kepada sektor dan geografi yang khusus. Malaysia juga perlu menumpu kepada sektor dan geografi terpilih bagi mencapai matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. Langkah pembaharuan ekonomi dalam RMKe-
10 seperti permodenan peraturan perniagaan, pembangunan modal insan, peningkatan persaingan domestik, penghapusan herotan pasaran dan penambahbaikan infrastruktur akan
menyediakan eko-sistem pemboleh bagi NKEA. NKEA dipilih berdasarkan sumbangannya untuk
mencapai pendapatan tinggi, kemampanan dan keterangkuman. Sebanyak 12 NKEA awal yang berpotensi telah dikenal pasti termasuk 11 sektor dan satu kawasan geografi iaitu Kuala Lumpur. Kuala Lumpur telah dipilih kerana ia menyumbang hampir satu pertiga kepada KDNK Malaysia dan aglomerasi bandar boleh menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi.
Setiap NKEA akan mempunyai sasaran khusus dan tindakan yang kukuh untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Pelaksanaannya akan dipantau oleh Economic Delivery Unit di
bawah pimpinan Perdana Menteri. NKEA tersebut adalah:
1. Minyak dan gas;
2. Minyak sawit dan produk
berkaitan;
3. Perkhidmatan kewangan;
4. Pemborongan dan peruncitan;
5. Pelancongan;
6. Teknologi maklumat dan
komunikasi;
7. Pendidikan;
8. Elektrik dan elektronik;
9. Perkhidmatan perniagaan;
10. Penjagaan kesihatan swasta;
11. Pertanian; dan
12. Greater Kuala Lumpur.
Pertanian
Pada tahun 2009, pertanian bernilai tinggi termasuk penternakan burung walit, akuakultur, rumpai laut, sagu, ikan hiasan, herba dan rempah ratus, buah-buahan dan sayur-sayuran
organik, cendawan serta florikultur menyumbang kira-kira 1% kepada KDNK. Permintaan pengguna yang semakin meningkat ke atas produk bernilai tinggi memberi peluang kepada petani untuk meningkatkan pendapatan. Namun, pertumbuhan produk tersebut dikekang olehkekurangan tanah yang sesuai dan akses pembiayaan, kekurangan pekerja mahir, skala operasi
yang tidak ekonomik, perkhidmatan sokongan yang tidak menyeluruh, kekurangan sokongan R&D dan kelemahan jaringan pasaran.
Dalam RMKe- 10, aktiviti pertanian bernilai tinggi ini akan diberi tumpuan khusus supaya sumbangan kepada KDNK meningkat kepada 2% menjelang tahun 2015. Strategi untuk mencapai sasaran ini termasuk:
• Menubuhkan konsortium dan koperasi pertanian untuk memperoleh faedah skala, menggalakkan penggunaan amalan akreditasi oleh petani, nelayan dan usahawan tani serta mengukuhkan pemasaran melalui ladang kontrak dan pakatan strategik;
• Mengkaji semula dan memperkemas peraturan dan prosedur sedia ada terutamanya bagi industri sarang burung walit, akuakultur dan herba untuk menarik pelaburan serta penyertaan lebih besar sektor swasta;
• Menggalak pertumbuhan berasaskan inovasi dan proses pengeluaran yang menggunakan
teknologi perladangan moden dan ICT termasuk Agriculture Flagship Project berasaskan ICT;• Menyedia infrastruktur, kemudahan dan logistik yang lengkap dan khusus untuk menyokong aktiviti pertambahan nilai berdasarkan sumber yang ada dan berhampiran, terutama di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Zon Industri Akuakultur yang telah ditentukan; dan
• Mempergiat kerjasama R&D dengan institut penyelidikan pertanian unggul untuk melonjakkan
inovasi dalam proses pengeluaran, kawalan penyakit, keselamatan dan kawalan mutu sertapembangunan produk baru bernilai tambah tinggi. Di samping itu, pendekatan strategik berkaitan jaminan keselamatan makanan akan diambil bagi memastikan bekalan makanan terutamanya beras sentiasa ada, mudah diakses dan harga makanan yang berpatutan untuk orang awam. Dalam tempoh Rancangan, strategi bagi memastikan bekalan beras yang cukup termasuk mengekalkan stok simpanan beras pada paras 292,000 tan metric atau mampu menampung keperluan selama 45 hari, memeterai perjanjian kontrak jangka panjang untuk mengimport beras melalui perjanjian pemadanan eksport minyak sawit atau minyak dan
meningkatkan produktiviti di kawasan jelapang padi serta luar jelapang sedia ada melalui naiktaraf infrastruktur. Kawasan baru tanaman padi tidak akan dibangunkan dan pengeluaran beras tempatan ditetapkan pada kadar 70% tahap sara diri.
No comments:
Post a Comment